Kedah Benarkan Solah Jemaah Di Masjid Mulai Hari Ini

SEMUA masjid di Kedah dibenarkan mengadakan solat fardu berjemaah berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini, namun bilangan jemaah tidak boleh melebihi tiga orang.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, kebenaran itu mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara terutama menjelang Ramadan.

Katanya, mereka yang dibenarkan menunaikan solat di masjid adalah imam dan ahli jawatankuasa kariah iaitu bilal dan siak secara bergilir.

“Walaupun bilangan jemaah itu kecil, namun dari sudut agama ia sudah melepasi tuntutan fardu kifayah dalam kariah.

“Kedudukan antara jemaah juga perlu dijarakkan satu meter seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hanya individu sihat sahaja dibenar menunaikan solat berjemaah.

“Kebenaran ini bagaimanapun hanya untuk solat fardu sahaja dengan solat Jumaat dan tarawih tidak dibenarkan dilakukan di masjid,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada pasukan keselamatan di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Zakaria Othman.

Sebelum ini, masjid di Kedah hanya dibenarkan melaungkan azan dan solat tetapi solat berjemaah tidak dibenarkan dilakukan di masjid.

Fadzil berkata, umat Islam tidak perlu bimbang atau bersedih kerana solat fardu dan tarawih tidak dibenarkan dilaksana di masjid kerana pahala menunaikannya secara berjemaah bersama keluarga di rumah tetap sama.

“Umat Islam ketika ini perlu mengawal dan membantu mengekang penularan Covid-19.

“Jika keadaan lebih baik mungkin boleh ada solat tarawih dan Jumaat selepas ini, tetapi jika keadaan lebih serius maka kebenaran solat fardu berjemaah tiga orang di masjid mungkin ditarik balik,” katanya. Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *