Dolphin Ini Kesunyian Akhirnya Telah Pun Pergi Dari Dunia

TOKYO: Ikan lumba-lumba paling sunyi di dunia yang dinamakan Honey, akhirnya mati bulan lalu selepas hampir dua tahun menghabiskan masa sendirian dalam kolam kecil di taman akuarium marin terbiar di Jepun.

Oddity Central melaporkan, kisah Honey mendapat perhatian apabila video tular di Internet pada Oktober 2018 yang dirakam menggunakan dron oleh aktivis haiwan di Taman Akuarium Marin Inubosaki, Choshi, beberapa bulan sebelum premis itu ditutup.

Honey, nama yang diberi aktivis dan pencinta haiwan ditinggalkan di taman akuarium berkenaan bersama beberapa penguin dan diberi makan oleh pekerja secara berkala.

Menerusi rakaman video itu, kelihatan Honey seperti botol terapung di atas air dan kulitnya terbakar disebabkan sering terdedah kepada cahaya matahari selain kesunyian.

Meskipun kisah malang ikan lumba-lumba betina itu dilapor di seluruh dunia, ia tetap gagal mengubah nasib Honey, sehingga kematiannya pada 29 Mac lalu.

Dilaporkan juga, tabiat Honey yang melakukan tindakan berulang yang kompulsif sebagai petanda menghidap tekanan teruk akibat dikurung.

“Hakikatnya, di lautan, ikan lumba-lumba berenang jauh bersama keluarga, bermain dan meneroka kawasan baharu bersama. Namun Honey hanya dapat menghabiskan masanya terapung tanpa henti sepanjang hari, ” tulis badan bukan kerajaan, Peta pada 2018.

Dolphin Project, organisasi sama mengutarakan kisah Honey pada 2018 bersama pautan video yang juga berusaha menyelamatkannya, mengumumkan kematian ikan lumba-lumba itu awal April lalu.

Ketika usaha menyelamat dibuat bermula November 2018, Dolphin Projek dimaklumkan penutupan taman akuarium marin itu kerana hutang dan pengurusannya terdesak mencari pembeli.

Pada 2019, pihak itu dimaklumkan premis sudah dijual bersama Honey dan haiwan lain di dalamnya yang disahkan Pusat Kesihatan Kaisou selaku badan mengurus kesihatan haiwan di situ.

Menurut laporan terkini Dolphin Projek, organisasi itu cuba menyelamatkan Honey supaya nasibnya terbela dan pada Februari lalu, mereka sekali lagi menghubungi pencinta haiwan di Jepun berhubung perkara berkenaan.

Namun, usaha itu tergendala pada Mac lalu selepas difahamkan Honey menghidap penyakit serius dan hanya ada peluang tipis untuk hidup

Sumber: Harian Metro