Terkedu Melihat Kucing Kaku Di Dalam Bonet Kereta

Kadangkala kita sebagai pemilik dan pencinta kucing tidak boleh mengawal pergerakan kucing kita. Mereka sangat laju dan sangat tangkas hanya apabila lapar sahaja baru lah terhegeh nak datang pada kita selaku tuannya.

Kedegilan kucing menyebabkan mereka tak sedar mereka berada dalam situasi yang agak BA-HA-YA. Mereka suka panjat atas pokok tapi reti turun, mereka suka berburu tapi tak tengok keadaan sekeliling sekiranya ada kereta dan mereka suka tunjuk hebat serta suka menyorok.

Cakap tentang menyorok perkara yang tidak diingini telah berlaku, perkongsian gambar daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor amat menyentuh hati kita sebagai pencinta kucing.

Seorang pemilik kucing tidak sedar kucing telah masuk dan berada dalam enjin kereta adalah perkara yang sering berlaku dan perkara ini adalah di luar jangkaan manusia seperti kita. Apatah lagi jika pemilik sudah berada dalam kereta yang bertutup dan gagal mendengar jeritan kucing yang berada di dalam enjin mengerang akibat tersepit, lemas dan terkena wap panas enjin kereta

Kejadian yang berlaku pada bulan Ramadan hari Selasa 28 April 2020 disedari sekitar jam 12.53 tengah hari. Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikerah ke lokasi kediaman pemilik kucing di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi Selangor untuk bantu mengeluarkan kucing. Namun sudah terlambat apabila kucing itu tidak bergerak lagi.